Pada tahun 1880, Thomas Edison (Benedict Cumberbatch) telah berjaya mencipta mentol elektrik yang bakal menggantikan lampu minyak tanah yang banyak digunakan di Amerika Syarikat ketika itu. Edison menggunakan Direct Current (DC) untuk menyalurkan arus elektrik walaupun arusnya agak terhad. Tetapi George Westinghouse (Michael Shannon), seorang usahawan memperkenalkan Alternative Current (AC) yang lebih murah dan dapat disalurkan ke kawasan yang lebih luas. Maka bermula perseteruan antara Edison dan Westinghouse dalam membuktikan AC/DC yang lebih sesuai digunakan.
Filem ini menggunakan nama-nama besar seperti Benedict Cumberbatch, Michael Shannon, Nicholas Hoult dan Tom Holland sebagai sebuah daya penarik untuk audiens menikmati genre sejarah sebegini. Pengarah Alfonso Gomez-Rejon juga berjaya menghidupkan zaman 1880an dengan berjaya disamping menggunakan shot-shot menarik di dalam filem ini.
Walaubagaimanapun, jalan cerita filem ini tidak mampu menarik minat dan terlalu banyak perkara yang ingin diceritakan tidak begitu kesampaian. Lebih-lebih lagi apabila membabitkan watak Nicola Tesla lakonan Nicholas Hoult yang sepatutnya menjadi antara watak penting, tetapi disia-siakan dengan tempelan biasa dan tidak memberi impak sangat kepada plot penceritaan.
Lakonan pelakon-pelakon dalam filem ini juga wajar dipuji, lebih-lebih lagi oleh Michael Shannon. Sekuens antara babak juga cuba dipaparkan dengan lebih energetik dan ini dapat dirasai dalam sesetengah babak, tetapi secara keseluruhannya filem ini cuba untuk menjadi relevan dan tidak membosankan, cumanya perkara itu tidak berapa kesampaian.
Ianya masih lagi sebuah filem sejarah yang bagus sekiranya kita ingin tahu tentang perseteruan antara Edison dan Westinghouse dalam membuktikan arus elektrik mana yang lebih bagus. Kita juga dapat menyelami perasaan dua sosok individu ini dan melihat bagaimana perspektif mereka terhadap 'current war' yang berlaku ketika itu. Tetapi, adakah Thomas Edison ini seorang yang menjengkelkan? Kerana kalau ya, perasaan menjengkelkan itu tidak begitu dirasai dari Cumberbatch.
"If you want to be remembered, it's simple: shoot a president. But if you prefer to have what I call a legacy, you leave the world a better place than you found it."
Rating Peribadi: 3.5/5
0 opinions:
Post a Comment