Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159508

Monday, November 9, 2020

The Trial of the Chicago 7 (2020) - Ulasan Filem



Selepas menonton filem ini, secara tak langsung diri menjadi senyap sekejap dan hampir satu jam tidak berbuat apa-apa, tidak menonton tv atau buat apa-apa aktiviti lain. Selama satu jam duduk diam dan terfikir-fikir serta dalam proses menghadam filem yang sangat hebat ini. Aku duduk termanggu memikirkan tentang filem ini yang membuatkan kesemua perasaan ketika menonton sedikit demi sedikit reda, barulah akhirnya mampu menarik nafas lega kerana filem ini mampu memberikan perasaan bercampur aduk sepanjang pengalaman menontonnya. Amat jarang untuk merasai perasaan sebegini selepas menonton sebuah filem.

The Trial of the Chicago 7 memfokuskan kisah perbicaraan kumpulan 'The Chicago 7' yang sebelum itu digelar 'The Chicago 8' dan terdiri daripada Tom Hayden (Eddie Redmayne), Rennie Davis (Alex Sharp), Abbie Hoffman (Sacha Baron Cohen), Jerry Rubin (Jeremy Strong), David Dellinger (John Carroll Lynch), John Froines (Daniel Flaherty), Lee Weiner (Noah Robbins) dan Bobby Seale (Yahya Abdul-Mateen II). Bobby Seale kemudiannya dipisahkan dari perbicaraan kerana mempunyai peguam yang berbeza. The Chicago 7 ini diwakili peguam bela William Kuntsler (Mark Rylance) dan Leonard Weinglass (Ben Shenkman). Mereka semua dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencetuskan rusuhan ketika upacara '1968 Democratic National Convention'. Rusuhan itu tercetus kononnya akibat dari rancangan demonstrasi jalanan yang menentang kerajaan Amerika Syarikat menghantar tentera ke Perang Vietnam yang menyaksikan ramai nyawa pemuda Amerika terkorban. Pihak pendakwa raya pula terdiri daripada Richard Schultz (Joseph Gordon-Levitt) dan Tom Foran (J.C. Mackenzie) selepas dilantik oleh peguam negara baru, John Mitchell yang mengarahkan agar The Chicago 7 ini didakwa dibawah akta rusuhan yang baru sahaja digubal. Perbicaraan ini dihakimi oleh Judge Julius Hoffman (Frank Langella) yang bersikap dingin terhadap pihak defendan dan peguam bela sejak awal perbicaraan lagi.
Jika diikutkan, filem-filem bertemakan 'courtroom drama' sebegini sering digelar sebagai filem 'banyak berbual'. Dan filem-filem sebegini banyak bermain dengan dialog serta babak-babak yang 'slowburn'. Tetapi sebaliknya untuk filem ini, dari awal hingga ke pengakhiran filem kita dihidangkan dengan jalan cerita yang laju dan penuh ketegangan. Tiada satu babak dibazirkan dengan plot yang kosong dan sekuens antara babak ke babak berjalan dengan penuh lancar.
Ditambahkan lagi dengan barisan pelakon-pelakon hebat yang mewarnai plot penceritaaan dengan keberkesanan lakonan dalam membawa watak masing-masing. Pujian diberi kepada Yahya Abdul-Mateen II yang berjaya membawa watak Bobby Seale, seorang aktivis African-American dan pengasas parti Black Panther. Babak menyaksikan perselisihan antara Bobby dan Judge Hoffman sangat menakjubkan dan menimbulkan perasaan simpati di hati audiens. Michael Keaton juga membuat kemunculan sebagai bekas peguam negara, Ramsey Clark yang menjadi saksi kepada pihak defendan. Watak Ramsey Clark ini walaupun sekejap sahaja tetapi tetap mampu memberikan impak yang kuat pada jalan cerita dan ini merupakan keberkesanan lakonan dari Michael Keaton sendiri yang sememangnya seorang pelakon yang hebat.
Sepanjang perjalanan cerita juga kita akan secara spontan mempunyai perasaan benci dan sakit hati pada Judge Hoffman yang bersikap bias dan sering menimbulkan ketegangan di kalangan pihak defendan. Seringkali ditunjukkan bagaimana Judge Hoffman ini menunjukkan diskriminasi terhadap Abbie, Jerry, William Kunstler dan Bobby Seale. Frank Langella berjaya membawa watak ini sekaligus menjentik hati penonton untuk turut sama merasai ketidakadilan yang ditunjukkan Judge Hoffman.
Kredit wajib diberikan kepada Aaron Sorkin yang jelas merupakan seorang yang 'master' dalam lakon layar filem drama. Sorkin sekali lagi mampu membuktikan bahawa filem berkonsepkan drama dan 'banyak berbual' sebegini masih mampu mencetuskan 'adrenaline rush' kepada penonton seolah sedang menonton filem aksi. Lihat sahajalah barisan filem yang pernah ditulis oleh Sorkin seperti The Social Network, Molly's Game, Steve Jobs dan Moneyball yang merupakan filem drama tetapi dicantikkan dengan sekuens dan babak yang terpacu laju.
Intensiti sangat dirasai ketika menonton filem ini dan menimbulkan sebuah perasaan yang sangat puas. Banyak babak yang boleh diingati serta menjadi antara babak kegemaran dan antara filem terbaik untuk tahun 2020. Perasaan teruja bercampur geram berselang-seli menjadikan ianya seakan emosi rollercoaster yang tidak berpenghujung. Dan apa yang menariknya adalah penamat yang sangat tidak terbanding. Kita tahu ianya sebuah filem yang hebat kerana selepas intensiti yang panjang, akhirnya ditamatkan dengan babak yang menyayat hati hingga mampu membuatkan kita menitiskan air mata. Sebenarnya titisan air mata ini adalah perkara terakhir yang sepatutnya dijangka ketika menonton filem ini. Itulah sebabnya selepas menonton filem ini, kita akan terduduk sekejap dan termanggu kerana ingin menghadam segala perasaan yang datang sepanjang penontonan.
“With the trial starting, it might get easy to forget who this is about.” – Rennie Davis
Rating Peribadi: 5/5
Share:

Related Posts:

0 opinions: