Renée Zellweger membawakan watak sebagai bintang lagenda Hollywood, Judy Garland pada umur 40-an di dalam filem ini. Ianya membawa kisah ketika zaman tahun terakhir dalam hayat Judy ketika beliau sedang membuat konsert di London. Persembahannya di sana semakin hari semakin merosot akibat masalah kesihatan. Diselitkan juga babak-babak imbas kembali ketika Judy masih remaja dan ketika beliau terlibat dalam penggambaran filem Wizard of Oz sebagai watak ikonik, Dorothy Gale.
Ianya bukan sebuah biopik yang kebiasaannya mengisahkan perjalanan kehidupan seorang bintang lagenda dari awal kehidupan hingga kepengakhiran. Tetapi skop biografi Judy ini diperkecilkan supaya ianya fokus untuk menceritakan kisah Judy di penghujung kariernya. Sebenarnya bagus sebah penceritaannya lebih fokus dan tidak berkecamuk dengan kisah-kisah hidup yang lain. Tetapi plot penceritaannya tidak begitu berkembang dengan baik dan terasa sedikit kosong di antara babak-babak.
Satu-satunya perkara yang terbaik dalam filem ini adala Renée yang mampu menghidupkan kembali persona bintang lagenda ini dan memberikan satu persembahan lakonan yang menakjubkan. Memang tidak disangkal lagi kelayakan beliau memperoleh anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards ke-92. Dengan hanya menggunakan karisma dan aura darinya telah berjaya mengangkat keseluruhan filem dan menjadi antara pelakon yang berjaya membawa watak biopik dengan tersebut dengan cemerlang.
Penceritaan dalam filem ini juga lebih fokus pada sisi negatif yang dialami Judy sejak dari zaman muda dalam mengejar status 'bintang Hollywood'. Bagaimana masa silam sering menghantui masa hadapan dan membuatkan Judy berasa trauma setiap kali ingin melakukan persembahan. Filem ini juga membuka mata audiens tentang sisi gelap dalam dunia penuh 'glamorous' seorang bintang besar.
Pengakhiran babak dalam filem ini juga agak menyentuh hati walaupun filem ini tidak bermain dengan babak 'penghujung hayat bintang' seperti kebiasaan filem biopik lain. Ada banyak perkara yang filem ini persembahkan untuk memberi kelainan. Tetapi secara keseluruhannya, filem ini tidak begitu cukup menghiburkan dan bernasib baik kerana lagu-lagu yang dinyanyikan oleh watak Judy mampu menarik minat sepanjang penontonan.
" I just want what everybody wants. I just seem to have a harder time getting it."
Rating Peribadi: 3/5
0 opinions:
Post a Comment