Joon-woo adalah seorang lelaki Korea tipikal yang sedang bermain video game di rumah tidak sedar dunia luar sedang mengalami zombi apokalips yang merebak dengan sangat cepat. Selepas menyedari pandemik zombi itu, Joon-woo tekad mengurungkan dirinya sendiri dalam rumah dan menunggu pasukan penyelamat.
Cerita ni sebenarnya sangat ringkas premisnya. Ianya bermain dengan satu watak dan bagaimana watak itu cuba menjalani kehidupan seharian dan terus bertahan dalam dunia yang kacau bilau dengan zombi apokalips. Tapi sayangnya, terlalu ringkas dan mudah sahaja jalan ceritanya dan konflik-konflik yang ditunjukkan juga tidaklah terlalu kompleks. Atau mungkin penterjemahan konflik dalam filem ini tidak terlalu kuat.
Jika diambil kira tema zombi yang dipaparkan, filem ini tidak mencetuskan sangat perasaan mendebarkan, perasaan takut dan hubungan perasaan antara audiens dengan watak itu sendiri. Apa yang ingin dipaparkan itu sebenarnya dahsyat, tapi cara penyampaiannya itu tidak begitu memberi impak.
Mungkin apa yang ingin dipaparkan dalam filem ini adalah tentang watak yang biasa-biasa, yang sememangnya wujud dalam dunia realiti, dan bagaimana realiti sebenar sekiranya perkara tersebut berlaku pada diri kita. Kadang-kadang sebuah filem akan 'exaggerate' dengan lebih untuk memaparkan kesan dramatik dan aksi yang tinggi. Tapi filem ini seolah terlalu ingin mencapai realiti hingga menimbulkan sedikit perasaan bosan ketika menonton.
Hingga ke akhir filem, tiada apa yang betul-betul menarik berlaku. Ada juga diletakkan sedikit plot twist atau konflik tentang sikap manusia dalam filem ini, tetapi semuanya seolah ditunjuk dengan tidak sepenuh hati. Nasib baik efek dan make-up watak-watak zombi tu boleh tahan mengerikan juga, tipikal zombi Korea.
Rating Peribadi: 3/5
0 opinions:
Post a Comment