Sekali lagi Superman diberikan 'origin story' baru yang lebih moden, tetapi dalam waktu yang sama, mengekalkan ciri-ciri klasik. Gaya animasi dalam filem kali ini juga berbeza seperti animasi dalam DC Animated Movies Universe, kali ini lebih ke arah gaya 'komik Amerika' dan ianya satu gaya animasi yang sedap mata memandang.
Dari segi penceritaan pula, ianya lebih nampak asli dan motif plot ingin menunjukkan Superman / Clark Kent ini masih muda dan masih belajar memang kesampaian. Mungkin itu sebabnya ada babak-babak aksi agak kurang kesampaian dan ada babak membabitkan motivasi Superman dalam mencari penyelesaian sedikit janggal, ini kerana Superman ini masih baru dan muda.
Kehadiran watak Lobo menyedapkan lagi rencah dalam animasi ini. Boleh dikatakan semua babak yang ada Lobo pasti menarik. Begitu juga watak Martian Manhunter dan Lex Luthor yang memberikan sedikit impak walaupun tak sekuat Lobo.
Apa yang menariknya lagi, filem ini tidak terlalu memaksa hubungan antara Clark Kent dan Lois Lane yang baru sahaja berkenalan. Nampak juga usaha untuk tidak terlalu gopoh memasukkan segala plot dalam filem ini.
Jika ianya adalah sebuah filem permulaan bagi sebuah 'universe' baharu dalam mengganti DCAMU yang baru sahaja tamat, ianya sebuah animasi yang bagus. Tetapi bukanlah filem animasi Superman terbaik setakat ini. Babak-babak klimaks terutamanya agak sedikit mengecewakan.
Rating Peribadi: 3/5
0 opinions:
Post a Comment