Enola (Millie Bobby Brown) merupakan adik bongsu kepada Mycroft (Sam Claflin) dan Sherlock Holmes (Henry Cavill). Dari kecil Enola hidup bersama ibunya Eudoria (Helena Bonham Carter) dan berenggang dengan abang-abangnya. Ibunya mengajar Enola segala-galanya dari segi akademik hingga ke seni mempertahankan diri. Tetapi kehidupan Enola menuju ke konflik apabila satu hari ibunya menghilangkan diri dan memaksa Enola untuk meminta bantuan dari abang-abangnya.
Enola merupakan seorang gadis remaja yang esentrik, berazam kuat, berjiwa bebas dan optimis. Berbeza dengan Sherlock Holmes yang merupakan pakar deduksi dan kurang beremosi, Enola lebih pakar dalam bidang 'decyphering' dan mempunyai empati terhadap mereka yang dalam kesusahan.
Watak Enola dijayakan dengan cukup baik oleh pelakon muda berbakat besar, Millie Bobby Brown. Boleh dikatakan antara perkara paling positif dalam filem ini adalah lakonan dari beliau. Millie sekali lagi membuktikan kebolehannya dalam membawa watak ini dengan cukup energetik dan esentrik. Hubungannya dengan audiens sangat dekat apabila membabitkan babak 'memecah tembok keempat'.
Tetapi sayangnya filem ini tidak berapa kuat dari segi jalan cerita. Pada awal filem, audiens akan tertarik dan melekat di depan tv apabila diperkenalkan dengan cerita dan misteri yang agak menarik. Masalah plot bermula apabila Enola mula menjalankan misinya tersendiri, dan plot dipertengahan filem ini terasa sedikit meleret dan kosong. Apabila pertengahannya sebegini, maka pengakhirannya juga akan sedikit kehilangan impak klimaks. Ini yang dirasai juga dalam filem Enola Holmes apabila misteri yang dirungkaikan tidak begitu terkesan hingga ke akhir filem.
Ambil kira peranan Henry Cavill pula sebagai Sherlock Holmes, beliau tidak menonjolkan sangat kredibiliti sebagai Sherlock, mungkin kerana ini bukan cerita pasal watak itu. Tetapi pada pengakhiran ada sedikit memaparkan karakteristik Sherlock itu daripada Henry. Boleh dikatakan beliau berjaya untuk tidak 'overshadow' watak utama. Ini filem Enola, bukan filem untuk beliau.
Filem ini merupakan adaptasi dari siri novel The Enola Holmes Mysteries oleh Nancy Springer. Walaupun kelihatan sedikit lompong sana sini dari segi plot penceritaan, tetapi secara keseluruhan, filem ini masih lagi sebuah filem yang seronok ditonton seisi keluarga. Ditambah pula dengan pelbagai filem-filem dari Netflix yang kelihatan agak kurang sesuai untuk tontonan umum sekarang ni.
Rating Peribadi: 3.5/5
0 opinions:
Post a Comment