Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

159511

Thursday, September 17, 2020

Long Shot (2019) - Ulasan Filem



Charlotte Field (Charlize Theron) merupakan US Secretary of State yang berkaliber dan mempunyai kredibiliti cukup tinggi dalam bidang politik, kemudian memutuskan untuk bertanding sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Fred Flarsky (Seth Rogen) pula seorang wartawan yang mempunyai integriti tinggi, tetapi menghadapi dugaan selepas syarikat akhbar tempat kerjanya dibeli oleh syarikat media konglomerat, Wembley Media. Secara luaran, pasangan ini nampak sangat tidak sesuai, tetapi zahiriahnya, mereka saling melengkapi dan memahami antara satu sama lain.
Menonton filem ini mengingatkan aku tentang filem She's Out of My League, dan aku suka tonton filem tersebut. Begitu juga dengan filem ini, aku cukup terhibur dengan genre romantik komedi yang dipersembahkan. Ianya sebuah 'feels good movie' dengan penuh mesej-mesej positif dan watak-watak yang optimis serta keserasian yang ditunjuk oleh Charlize dan Seth sangat sampai.
Setiap kali ditunjukkan babak antara watak Charlotte dan Fred ini akan membuat audiens tersenyum. Hubungan yang watak-watak ini paparkan adalah sesuatu yang sangat baik dan watak Charlotte walaupun ditunjukkan sebagai seorang wanita yang mempunyai kuasa, tetapi tidak langsung memperlekehkan Fred. Konflik cuma timbul apabila wujud karakter seperti Wembley Parker lakonan Andy Serkis, ya, dengan 'mekap tebal'!
Watak Fred juga ditunjukkan dengan begitu menarik, bukanlah sekadar watak lelaki picisan yang berselindung atau cuba menandingi wanita yang berkuasa disisinya. Tetapi Fred membuktikan integriti di dalam dirinya tentang perkara yang dia percayai.
Walaupun jalan cerita filem sebegini sudah selalu dipertontonkan, tetapi dengan menyelitkan unsur politik dan konflik global, sedikit sebanyak memberikan kelainan yang segar. Keseluruhan filem berjalan dengan cukup lancar dan babak demi babak dihiasi dengan lakonan mantap dari Charlize Theron yang sememangnya tidak dinafikan lagi kebolehannya berlakon pelbagai watak. Di sini dapat dilihat pula sisi komedi yang cuba dibawa Charlize dan Seth Rogen juga mampu mengangkat dirinya ke tahap yang sama dengan Charlize.
Ianya sebuah filem yang cukup santai dan enak ditonton sewaktu kita dalam keadaan stress. Sebuah filem romantik komedi klasik dengan sentuhan moden dan sudah semestinya mempunyai pengakhiran bahagia.
Filem ini boleh ditonton di Netflix sekarang.
"Man, you know who you should date? Taylor Swift. Hell, yeah. I could see that."
Rating Peribadi: 4/5

#LongShot #HDABDHMD #HadyMovieReview 

Share:

Related Posts:

0 opinions: