Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Monday, January 18, 2021

AK VS AK (2020)



TAHUN: 2020
PENGARAH: Vikramaditya Motwane
SKRIP: Anurag Kashyap
PELAKON: Anil Kapoor, Anurag Kashyap, Yogita Bihani, Sonam Kapoor, Harshvardhan Kapoor
GENRE: Komedi Gelap, Thriller
BAHASA: Bahasa Hindi
DURASI: 108 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Anurag Kashyap dan Anil Kapoor membawa watak sebagai diri mereka sendiri yang berkonsepkan 'bigger than life' dalam filem ini di mana mereka berdua berseteru selepas satu insiden di sebuah rancangan TV yang menyebabkan karier Anurag berada di hujung tanduk. Anurag bersama Yogita, seorang pembikin filem muda merangka pelan untuk mengenakan kembali Anil Kapoor dengan menculik anaknya Sonam Kapoor dan merakam aksi Anil dalam mencari anaknya yang diculik itu. Anil mempunyai masa sehingga matahari terbit dan sepanjang filem ditunjukkan Anurag dan Anil dirakam oleh Yogita dengan aksi-aksi seakan sebuah filem, tetapi ianya realiti.
Menariknya filem ini yang terutamanya adalah penggunaan watak-watak menggunakan nama sebenar pelakon-pelakon dalam filem ini. Bertambah pula dengan dinamik antara Anurag Kashyap, seorang pengarah filem Bollywood yang terkenal dan Anil Kapoor seorang superstar Bollywood yang tidak perlu lagi diperkenalkan. Begitu juga anak-anak Anil seperti Sonam dan Harsh Kapoor yang juga melakonkan watak sendiri dalam filem ini. Konsep sebegini kelihatan sangat 'meta' dan membuatkan penonton melihat dari perspektif realiti.
Sememangnya konsep 'filem dalam filem' ini memberikan nafas segar terhadap filem Bollywood yang semakin berani meneroka genre yang berbeza. Malahan apa yang boleh dipuji adalah teknik realism yang ditunjukkan oleh pelakon-pelakon yang memberikan sebuah persembahan yang luar biasa. Anil Kapoor berjaya memberikan sebuah watak yang boleh dikatakan antara lakonannya paling berjaya sepanjang kariernya sebagai seorang superstar Bollywood. Pujian juga wajib diberi kepada Anurag yang walaupun lebih terkenal sebagai seorang pengarah tetapi beliau juga seorang pelakon yang sangat berkaliber.
Cuma satu kelemahan kecil dalam filem ini adalah babak pengakhirannya yang dirasakan boleh diperbaiki sedikit. Tetapi itu tidak mencacatkan keseluruhan pengalaman menonton filem ini kerana untuk melakukan sebuah filem thriller realistik sebegini, memang agak payah sebenarnya untuk memberikan pengakhiran yang benar-benar memuaskan. Dan plot twist demi plot twist yang dipaparkan telah berjaya memberikan perasaan saspens terhadap penonton.
Penonton tidak akan berganjak dari tempat duduk ketika menonton filem ini kerana dari babak ke babak disajikan dengan sekuens yang menarik. Perasaan mendebarkan dapat dirasai sepanjang filem dan membuatkan durasi filem ini terasa sangat sekejap. Sehinggakan penonton sendiri yang menyaksikan filem ini juga dapat merasai dan mempersoalkan adakah ianya benar-benar sebuah realiti atau rekaan semata-mata? Filem AK VS AK arahan Vikramaditya Motwane ini sedang ditayangkan di Netflix.
"Your search for her is real, you'll get hurt for real, you will cry for real, you will laugh for...you won't laugh."
RATING: 4/5
Share:

0 opinions:

Blog Archive