Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Friday, January 22, 2021

TARUNG SARUNG (2020)



TAHUN: 2020
PENGARAH: Archie Hekagery
LAKON LAYAR: Archie Hekagery
PELAKON: Panji Zoni, Yayan Ruhian, Cemal Faruk, Maizura, Surya Saputra
GENRE: Drama, Aksi
BAHASA: Indonesia
DURASI: 115 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Deni Ruso (Panji Zoni) merupakan anak tunggal dari pemilik syarikat besar di Indonesia, Ruso Corp yang dikendalikan oleh ibunya, Dina Ruso (Imelda Therine) . Kehidupan serba mewah telah memanjakan Deni yang suka berfoya-foya sehingga tidak percaya kepada agama sendiri. Sehinggalah ibunya membuat keputusan untuk menghantar Deni ke Makassar untuk mengajarnya erti kesusahan. Di waktu yang sama, Deni juga mengendalikan projek Ruso Corp di situ. Di Makassar, Deni berkenalan dengan Tenri (Maizura) yang juga memperkenalkan Deni dengan sukan rakyat di situ, Tarung Sarung. Deni mendapat ancaman dari Sanrego (Cemal Faruk) yang mencintai Tenri dan merupakan juara Tarung Sarung. Deni meminta pertolongan dari Pak Khalid (Yayan Ruhian), seorang mahaguru Tarung Sarung, dan ternyata Pak Khalid telah mengajar Deni lebih dari sekadar seni mempertahankan diri.
Sekali imbas sahaja sudah dapat dilihat bahawa filem ini mendapat inspirasi yang banyak dari filem The Karate Kid (yang lama, bukan yang baru, seperti kata Tenri, masakan Kung Fu ada dalam filem Karate). Dari nama Deni Ruso itu sendiri yang seakan sama dengan Daniel LaRusso, teknik-teknik tarung sarung yang diajarkan Pak Khalid yang lebih kurang sama dengan apa Mr Miyagi ajar, pertandingan tarung sarung itu sendiri juga, semua elemen-elemen ini terinspirasi dari filem The Karate Kid.
Walaupun begitu, ianya masih lagi cuba untuk menyelitkan perbezaan terutama pada watak Deni dan motif penceritaan yang mempunyai konsep keagamaan. Boleh jugalah nak dikatakan ianya filem The Karate Kid bergabung dengan filem keagamaan, maka terhasil-lah Tarung Sarung! Fokus pada konsep keagamaan filem ini, ada momen-momen yang mampu menarik perhatian audiens, tetapi ianya hanya dicakar pada permukaannya sahaja. Filem ini cuba menjadi sebuah filem yang mempunyai maksud mendalam, tetapi sayangnya pembikin filem ini seolah-olah buntu dan terpaksa memasukkan cerita yang separuh jiwa sahaja.
Perjalanan cerita agak perlahan pada awalnya, sehinggakan perasaan bosan mula menyelubungi dan hampir saja untuk tidak meneruskan penontonan. Tiada dialog yang menarik dan babak-babak yang mampu melekatkan penonton untuk terus menyaksikan babak seterusnya. Tetapi apabila Yayan Ruhian mula munculkan diri, dan babak aksi pun mula disajikan, dari situ barulah terasa aura dalam filem ini.
Lawak jenaka dan plot tentang Ruso Corp yang ingin membina sebuah projek di Makassar juga tidak begitu meyakinkan. Penggunaan mesej tentang alam sekitar dan golongan kapitalis yang menindas tidak disampaikan dengan begitu baik. Sepatutnya filem ini memfokuskan pada satu plot, dan menggunakan subplot-subplot lain sebagai penghubung antara sekuens. Tetapi nasib baik kehadiran Yayan Ruhian memberikan sedikit perasaan berbaloi kerana beliau adalah 'Jackie Chan' Asia Tenggara dan kemunculannya memberikan satu kepuasan kepada penonton.
"Jadi adakah awak jadi orang yang lebih baik selepas tidak percayakan Tuhan?"
RATING: 3/5
Share:

0 opinions:

Blog Archive