Charlize Theron kembali lagi dengan wataknya yang cuba mencari kelainan dari watak-watak pernah dibawanya sebelum ini. Kali ini beliau membawa watak Marlo, seorang ibu kepada dua orang anak dan sedang kelahiran anak ketiga. Kehidupan Marlo penuh dengan kesibukkan menjaga anak-anak dan isi rumah. Bertambah pula dengan situasi anak lelakinya Jonah yang 'developmental disorder' menyukarkan lagi keadaan. Suaminya, Drew (Ron Livingston) pula sibuk dengan projek baru dari syarikatnya dan tidak dapat membantu Marlo dengan kerja-kerja rumah.
Pada satu hari, abangnya, Craig (Mark Duplass) ingin menolong Marlo dengan mengupah seorang 'night nanny' yang boleh membantu Marlo menjaga bayinya ketika waktu malam. Marlo yang mulanya menolak, tetapi akhirnya 'mengupah' juga Tully (Mackenzie Davis) untuk menolongnya menjaga bayinya yang baru lahir. Hubungan Marlo dan Tully semakin lama semakin akrab dan Marlo mula berubah menjadi seorang yang positif.
Walaupun filem ini seakan sebuah drama tentang susah payah seorang ibu menjaga isi rumahnya, tetapi konsep psikologikal yang diguna pakai memberi satu elemen yang baru dalam mengangkat isu sebegini. Charlize membawa watak Marlo dengan cukup berkesan sehingga mampu menimbulkan situasi penuh stress untuk audiens yang menonton. Kesukaran seorang ibu itu sangat dirasai dalam diri Marlo sehingga membuatkan penonton sendiri berasa simpati dan menyelami situasi yang dihadapi karakter ini.
Kewujudan watak melodramatik seperti Marlo ini memberikan impak yang sangat mendalam dalam penceritaan dan watak ini hanya perlukan satu lagi watak iaitu Tully yang lebih ceria dan optimis dalam hal menjaga anak dan isi rumah. Kedua-dua watak ini mempunyai kontras antara satu sama lain yang menyempurnakan lagi jalan cerita.
Menariknya lagi, plot filem ini secara sarkastiknya tidak menggunakan watak Drew sebagai ketua keluarga dengan cukup baynyak dan langsung tidak menyelubungi dan menguasai watak Marlo. Drew itu walaupun kelihatan sekadar ada sahaja tetapi tetap masih lagi mempunyai signifikannya tersendiri terhadap keseluruhan dinamik penceritaan.
Plot menjadi semakin menarik apabila filem berkonsep drama ini memberikan satu 'plot twist' di penghujung penceritaan. Jarang sebenarnya ingin melihat sebuah cerita tentang seorang ibu yang memberikan pendedahan yang tidak terfikir akan wujud sejak dari awal filem. Pendedahan sebegini sekaligus melengkapkan kisah Marlo dan memberi perspektif yang baru tentang dunia keibuan.
"Great moms organize class parties and make cupcakes. Things I’m just too tired to do."
Rating Hady: 4/5
Sumber tontonan: Netflix Canada
0 opinions:
Post a Comment