TAHUN: 2015
PENGARAH: Lenny Abrahamson
LAKON LAYAR: Emma Donoghue
PELAKON: Brie Larson, Jacob Tremblay, Joan Allen, Sean Bridgers, William H. Macy, Tom McCamus.
GENRE: Drama, Thriller
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 118minit
SUMBER TONTONAN: Netflix (Canada)
Joy Newsome (Brie Larson) hidup bersama anak lelakinya, Jack (Jacob Tremblay) yang berumur 5 tahun di dalam sebuah bilik kselepas diculik oleh seorang lelaki ketika Joy berumur 17 tahun. Sudah 7 tahun Joy diculik dan beliau meneruskan kehidupan bersama Jack dengan suasana bilik yang sempit dan hanya terdapat satu sahaja tingkap di bahagian bumbung (skylight). Jack tidak tahu dunia luar dan hanya mempunyai pengetahuan tentang dunia di dalam bilik itu dan berbekalkan sebuah television sebagai sumber hiburan dan pengetahuan. Lelaki yang menculik mereka hanya digelar sebagai Old Nick (Sean Bridgers) dan Joy hanya menjadi tempat pemuas nafsu Old Nick dan beliau tidak membenarkan Old Nick berhubungan dengan Jack. Selepas mengetahui bahawa Old Nick telah diberhentikan kerja, Joy mencari jalan untuk melepaskan diri dari bilik itu.
Filem hebat ini telah memenangi banyak anugerah-anugerah antarabangsa. Antaranya adalah anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards ke-88 yang dimenangi oleh Brie Larson. Filem ini juga mendapat pencalonan dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Adaptasi Lakon Layar Terbaik dalam anugerah tersebut. Kemenangan Brie Larson tersebut sememangnya sangat layak kerana beliau berjaya membawa watak sebagai seorang wanita yang diculik dan depresi dengan sangat baik. Gabungan lakonannya dengan Jacob Tremblay yang merupakan antara pelakon cilik yang handal dalam berlakon menjadikan filem ini sebagai sebuah filem drama thriller yang menakjubkan.
Plot filem yang pada awalnya memfokuskan pada satu lokasi kecil iaitu bilik (Room) yang didiami oleh Joy dan Jack memberikan satu pengalaman baru dalam penontonan filem thriller. Ianya tidak memberi informasi yang berlebih-lebih dan penonton dibawa menyelusuri dunia mereka yang cuba menghidupkan bilik tersebut sebagai sebuah dunia yang luas.
Dari perspektif mata mereka, penonton sendiri dapat merasai betapa luasnya dunia bilik itu dengan imaginasi-imaginasi dan aktiviti Jack dengan ibunya itu. Ianya kontra dengan apa yang ditunjukkan dengan dunia luar yang lebih luas dari dunia di dalam bilik, tetapi ditunjukkan bagaimana dunia di luar itu juga berasa sempit dan tekanan akan muncul pada mereka yang tidak tertanggung beban yang dipikul.
Penonton dapat menyelami sebuah jalan cerita yang menyayat hati dan merenggut jiwa melalui filem ini. Walaupun ianya sebuah drama, tetapi ada satu babak yang membuatkan jantung admin sendiri luruh dan penuh dengan saspens. Segala jenis emosi yang cuba disampaikan beserta dengan masalah psikologi setiap karakter dalam ini dipaparkan dengan cukup halus tanpa memerlukan sebuah eksposisi yang terperinci. Dengan menggunakan satu tema iaitu penculikan, ianya mampu bermain di keseluruhan watak-watak yang dipaparkan dalam filem ini dan bagaimana kesannya pada mereka.
Filem ini merupakan adaptasi dari novel dengan judul yang sama oleh Emma Donoghue yang juga merupakan penulis lakon layar. Mungkin ada yang akan beranggapan ianya sebuah drama berat, tetapi tidak. Filem ini sebuah filem yang sangat bagus untuk ditonton dan akan memberikan perasaan menggerunkan dan juga menenangkan pada waktu yang sama.
“No one is strong alone. You know, you and your mom, you help each other through, don't you?”
RATING: 5/5
0 opinions:
Post a Comment