Kisah keluarga di-Raja Britain, keluarga Queen Elizabeth II kali ini berlatarbelakangkan sekitar peristiwa tragik berkenaan kematian Princess Diana akibat kemalangan kereta di Perancis. Penonton dibawa menyelusuri kehidupan Queen Elizabeth II (Helen Mirren) yang mendapat cemuhan dari rakyat Britain kerana tidak menunjukkan empati dan enggan melabelkan kematian Diana sebagai kematian di-Raja. Dalam waktu yang sama Tony Blair (Michael Sheen) baru sahaja diangkat sebagai Perdana Menteri yang muda, perlu menjadi orang tengah kepada Queen dalam perihal pengebumian Diana.
Penulis lakon layar filem ini, Peter Morgan memang sudah cukup dikenali sebagai penulis biopik keluarga di-Raja Britain dan drama-drama politikal UK. Antara karya beliau adalah seperti siri TV The Crown, filem The Special Relationship, Frost/Nixon, The Other Boleyn Girl, The Deal dan banyak lagi. Tidak boleh dinafikan bahawa genre sebegini sememangnya makanan ruji beliau.
Penceritaan banyak memfokuskan pada perspektif Queen Elizabeth dan Tony Blair berkaitan kematian dan pengebumian rasmi Princess Diana. Tony Blair menjadi kegemaran orang ramai kerana menunjukkan empati kepada kemaitan Princess Diana dan sifat merendah diri beliau yang cuba untuk meyakinkan keluarga Windsor melakukan perkara yang sama. Secara tidak langsung Blair sendiri sudah terjebak dengan drama kekeluargaan ini. Bagaimana Prince Charles (James Cromwell) juga cuba menggunakan Blair menjadi orang tengah supaya pihak media akan mengalihkan kecaman kepada ibunya, Queen Elizabeth, hanya untuk mengajar ibunya tentang apa yang dia alami selama ini.
Hubungan antara watak Blair dan Queen dapat dirasai apabila kedua watak ini mempunyai refleksi antara satu sama lain, tetapi mempunyai persamaan dari segi tanggungjawab yang mereka pikul. Mungkin pada awalnya kita sebagai penonton juga akan merasa jelik dengan sikap dingin Queen, tetapi pada pengakhirannya, dapat dirasai apa yang sebenarnya Queen ini perlu lakukan untuk menjadi seorang 'Queen'.
Konsep penceritaan yang mudah dan santai menjadikan filem ini tidak terlalu bosan untuk ditonton. Tema utama tentang kematian Princess Diana menjadi 'selling point' filem ini dan menambahkan lagi rencah dalam penontonan. Sudah tentu kisah yang penuh dengan skandal dari keluarga di-Raja Britain ini kekal menjadi sebuah kisah yang paling 'mahal' sekali dan kebolehan Peter Morgan mengangkat kisah ini ke layar perak harus dipuji. Peter tidak saja-saja ingin menconteng arang ke muka keluarga Windsor, tapi dalam waktu yang sama memberikan satu perspektif berbeza kepada rakyat Britain tentan keluarga paling kontroversi ini.
“A job she watched kill her father. She's executed it with honor, dignity, and, as far as I can tell, without a single blemish, and now we're all baying for her blood! All because she's struggling to lead the world in mourning for someone who... who threw everything she offered back in her face.” - Tony Blair
Rating Hady - 4/5
Sumber tontonan: Netflix US
0 opinions:
Post a Comment