Dokumentari ini menceritakan tentang pembunuhan keluarga Watts di mana Shannan Watts yang sedang mengandung dan dua orang anaknya, Bella dan Celeste telah dibunuh oleh Christopher Watts. Kejadian ini terjadi pada Ogos 2018 dan Christ akhirnya mengaku pada pembunuhan-pembunuhan tersebut pada November 2018.
Gaya penghasilan dokumentari ini agak lurus sebenarnya walaupun pengarahnya, Jenny Popplewell cuba untuk tidak menyusun kronologi secara linear. Sumber-sumber rakaman yang terdapat pada 'body-cam' polis, kamera CCTV dan posting-posting Facebook Shannan memudahkan lagi penceritaan supaya difahami audiens.
Ianya banyak menggunakan posting-posting Facebook Shannan dan beberapa klip video serta imej yang menunjukkan bagaimana bahagianya keluarga Watts ini. Paparan imej dan video ini walaupun tidak menunjukkan konteks yang terlalu mendalam tentang permasalahan sebenar yang berlaku, tetapi mampu membangkitkan suatu emosi yang dapat menghubungkaitkan audiens dengan keluarga Watts di dalam dokumentari ini.
Kes ini sememangnya sangat tragik, tetapi ianya sangat 'straightforward' dan tidak sesulit kes-kes yang lain. Tak banyak sebenarnya dokumentari kes pembunuhan yang aku tonton, tapi sebelum ini aku pernah menonton doku 'Don't F*ck With Cats' dan aku rasakan doku sebegitu lebih menimbulkan intensiti kerana mempunyai kes yang menarik.
Cumanya doku American Murder: The Family Next Door ini menimbulkan banyak persoalan di kalangan audiens dan jika ingin mencari di mana keunikan kes ini, mungkin pada diri Christ yang tidak mengambil nyawanya sendiri selepas melakukan pembunuhan, tidak seperti 'familicide' (pembunuhan keluarga) yang lain.
Sekalipun begitu, ianya masih lagi sebuah doku yang mampu membuka mata ramai tentang 'wayang keluarga bahagia' yang sering dipaparkan di dalam media sosial, tapi hakikatnya adalah sebaliknya.
"Why did Nico, Celeste, Bella and Shannan have to lose their lives in order for him to get what he wanted?"
Sumber tontonan: Netflix Malaysia
0 opinions:
Post a Comment