TAHUN: 2021
PENGARAH: Kornél Mundruczó
LAKON LAYAR: Kata Wéber
PELAKON: Vanessa Kirby, Shia LaBeouf, Ellen Burstyn, Molly Parker, Sarah Snook.
GENRE: Drama
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 128 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Pengalaman bersalin merupakan satu pengalaman paling istimewa untuk setiap ibu. Ada ibu yang memilih untuk bersalin di rumah kerana ianya dirasakan lebih mempunyai nilai sentimental yang mendalam. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Matha Weiss (Vanessa Kirby) dan Sean Carson (Shia LaBeouf), sepasang suami isteri yang sedang menanti kelahiran anak mereka yang pertama. Mereka memutuskan untuk bersalin di rumah, tetapi bidan mereka, Barbara tidak dapat datang kerana sibuk dengan urusan lain, lalu diganti dengan bidan lain bernama Eva. Perkara tidak diingin terjadi yang akhirnya mengakibatkan konflik rumahtangga antara Martha dan Sean serta kemelut mereka dengan keluarga Martha.
Isu yang disampaikan tentang 'postpartum' seorang ibu lebih-lebih lagi dalam mengharungi trauma yang sangat dahsyat merupakan sebuah isu yang jarang disentuh dalam sesebuah filem. Tetapi untuk filem kali ini ianya ditunjukkan melalui watak Martha lakonan Vanessa Kirby di mana lakonannya itu telah memberikan satu perspektif baru tentang masalah kemurungan ibu yang baru bersalin. Hampir keseluruhan jalan cerita ini menunjukkan perjalanan Martha dalam mengharungi dan menghadapi trauma yang dialaminya itu.
Filem ini juga banyak menggunakan teknik 'one continuous shot' dan paling utama digunakan pada babak Martha ingin bersalin. Pada awal lagi babak ini telah ditunjukkan dan memberi satu pengalaman kepada penonton untuk menyaksikan sendiri betapa peritnya pengalaman bersalin ini, tetapi pengalaman perit ini bertukar menjadi sebuah kenangan manis selepas anak dilahirkan. Dalam babak ini ditunjukkan dengan cukup saspens dan walaupun hanya babak bersalin, tetapi suasana yang ditunjukkan babak ini seakan sebuah babak seram yang sering kita tonton dalam filem-filem ngeri yang lain.
Shia Labeouf dan Ellen Burstyn yang melakonkan watak suami dan ibu kepada Martha juga memberikan satu watak yang mempunyai sisi berbeza dan tidak seperti yang pernah ditonjolkan sebelum ini. Begitu juga Vanessa Kirby berjaya membawa penonton ke sebuah dunia penuh emosional yang berbeza dalam menjayakan watak yang mengharungi tempoh postpartum menyedihkan. Lakonan ketiga-tiga pelakon ini wajib diberikan penghargaan kerana berjaya memberikan reaksi dan emosi berbeza kepada audiens yang menonton. Watak-watak yang dibawakan ini memberikan satu sisi 'kelabu' yang sebenarnya lebih dekat dengan dunia realiti.
Ya, filem ini mempunyai aliran cerita yang sangat perlahan. Perkataan yang tepat untuk keseluruhan mood cerita ini adalah 'muram'. Walaubagaimanapun ianya mampu lagi menarik perhatian kerana banyak menggunakan perlambangan seperti buah epal dan pembinaan jambatan untuk dijadikan sebagai penggerak cerita utama. Filem ini tidak sesuai ditonton seisi keluarga kerana terdapat babak-babak yang tidak ditapis. Untuk penonton dewasa, ianya mampu memberi satu pengalaman atau perspektif baru tentang dunia postpartum.
"That's what I'm asking you to do now. Lift your head and fight for yourself, for God's sakes!"
RATING: 4/5
0 opinions:
Post a Comment