Kisah Princess Diana ini tidak perlu disangkal lagi sebagai sebuah skandal terbesar yang paling diingati ramai. Perkahwinannya dengan Prince Charles mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia. Untuk siri ini, pelakon Emma Corrin yang membawa watak Princess Diana berjaya menghidupkan watak ini dan sedikit sebanyak mewujudkan perasaan seram sejuk kerana riak dan wajahnya yang hampir serupa dengan Princess Diana. Josh O'connor pula yang telah membawa watak Prince Charles sejak musim ketiga lagi mewujudkan perwatakan berbeza untuk musim keempat ini. Jika di musim ketiga penonton akan rasa sedikit bersimpati dengan watak Charles ini, tetapi berbeza untuk musim terbaru ini apabila Charles menunjukkan sisi gelapnya selepas berkahwin dengan Diana. Kisah Diana dan Charles ini tidak terus tamat di musim ini, ianya akan bersambung ke musim kelima dimana pelakon Elizabeth Debicki pula yang akan menggantikan Emma Corrin untuk membawa watak Diana yang lebih dewasa.
Pujian aku berikan kepada Gillian Anderson yang berjaya membawa watak Margaret Thatcher dengan cukup baik. Gillian berjaya mengubah wajah, bahasa badan dan vokalnya untuk cuba menterjemahkan watak 'Iron Lady' ini ke kaca tv dengan sebaik mungkin. Dinamik watak ini lebih dirasai setiap kali berkongsi babak dengan watak Queen Elizabeth lakonan Olivia Colman. Kedua-dua wanita ini berjaya mengangkat watak mereka dan menjadikan musim ini antara musim paling menarik untuk siri tv The Crown.
Penulis dan pencipta siri ini, Peter Morgan memang terkenal dengan karya-karya beliau yang menjurus ke arah sejarah keluarga di-Raja Britain dan kisah-kisah politik Britain. Antara karya dari beliau sebelum ini adalah The Queen, The Deal, The Special Relationship, The Other Boleyn Girl dan kini beliau dapat meluaskan lagi sejarah dan kisah keluarga Queen Elizabeth ini dengan lebih panjang dalam The Crown. Apa yang menariknya untuk siri The Crown ini adalah ianya tidak hanya fokus pada satu jalan cerita sahaja. Peter Morgan bijak menggunakan kisah-kisah benar yang besar pernah berlaku satu ketika dahulu dan berjaya mengadaptasinya dengan cukup baik.
Mungkin ada yang berasa bosan dengan cerita berbentuk sejarah sebegini, tetapi bezanya siri The Crown ini adalah ianya memasukkan juga elemen ala 'soap opera' yang menyaksikan konflik-konflik kekeluargaan dan yang menariknya, ianya dari kisah benar. Memang ramai tahu keluarga di-Raja British ini memang penuh dengan drama, dan terima kasih kepada Peter Morgan yang berjaya menterjemahkan drama keluarga Windsor ini ke kaca tv dengan berjaya.
"Your marriage, all our marriages, are a reflection on the integrity of the Crown."
Rating Peribadi: 4.5/5
0 opinions:
Post a Comment