Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Thursday, January 14, 2021

The Lord of the Rings (2001-2003) - Ulasan Siri Filem


Francais filem epik fantasi ini mempunyai sebanyak 3 filem, The Fellowship of the Ring (2001), The Two Towers (2002) dan The Return of the King (2003). Ketiga-tiga filem ini berjaya dari segi komersial dan kritikal. Ianya merupakan sebuah fenomena dari novel hasil nukilan penulis hebat, J.R.R. Tolkien dan diarahkan oleh pengarah bervisi tinggi, Peter Jackson. Francais ini secara langsung menjadi antara francais fantasi yang terbaik pernah dihasilkan. Kejayaan francais ini mengizinkan Peter Jackson untuk membikin siri prekuelnya pula iaitu francais The Hobbit (2012-2014).

Berikut adalah beberapa info menarik tentang francais ini:
1) Ketiga-tiga filem ini dibikin secara sekaligus dengan bajet sebanyak USD281 Juta.
2) Francais ini berjaya mengutip secara total USD2.981 Billion.
3) Jumlah durasi ketiga-tiga filem bagi edisi panggung wayang adalah sepanjang 9 jam 18 minit. Manakala untuk edisi 'extended' pula sepanjang 11 jam 26 minit.
4) Kesemua filem ini mendapat rating 90% ke atas dari Rotten Tomatoes dan A ke atas dari Cinemascore.
5) Ketiga-tiga filem ini berjaya mendapat sebanyak 30 pencalonan dari Academy Awards (Oscar) dan berjaya memenangi sebanyak 17 anugerah.
6) Filem The Return of the King sahaja telah mendapat sebanyak 11 pencalonan di Oscar dan telah memenangi kesemua pencalonan tersebut termasuklah Best Picture dan Best Director.
7) Ini menjadikan The Return of the King antara filem 'blockbuster' yang berjaya memenangi anugerah Best Picture di Oscar.
______________________________________________________________________
Tidak dinafikan, francais The Lord of the Rings ini antara francais fantasi yang paling diminati ramai. Walaupun sudah hampir 20 tahun ditayangkan di panggung wayang, filem-filem dari francais ini masih lagi mendapat tempat di kalangan peminat filem dan masih mempunyai pengikutnya tersendiri. Apa yang paling boleh dipuji berkenaan francais ini adalah kesan khasnya yang sehingga kini kelihatan sangat luar biasa. Karakter CGI seperti Gollum mempunyai kesan khas yang paling menakjubkan, pujian kepada pelakon Andy Serkis juga dalam menjayakan 'motion capture' untuk karakter ini.
Francais ini juga kaya dengan watak-watak yang pelbagai seperti Gandalf si ahli sihir, Frodo, Sam, Merry dan Pippin si Hobbit yang licik, Legolas, Galadriel, Arwen dan Elrond si orang bunian, Gimli si orang kerdil dan juga watak-watak manusia lain seperti Aragorn, Boromir, Faramir dan Eowyn. Ramai pelakon-pelakon hebat yang menjayakan watak-watak ini seperti Ian McKellen, Elijah Wood, Viggo Mortensen, Liv Tyler, Orlando Bloom, Hugo Weaving, Cate Blanchett, Sean Bean, Karl Urban, Christopher Lee dan ramai lagi.
Walaupun plot utama filem ini adalah berkisarkan misiFrodo Baggins dan Samwise Gamgee bersama rakan-rakan mereka untuk memusnahkan 'The One Ring' di Mordor, tetapi filem-filem ini kaya dengan subplot-subplot yang menarik. Contohnya tentang Aragorn dan hubungannya dengan Arwen serta pergelutannya dengan dirinya yang sebenar sebagai pewaris takhta Gondor, kisah persahabatan luar biasa antara Legolas dan Gimli, kekuasaan seorang wanita bernama Eowyn yang berjaya menumpaskan Nazgul yang dahsyat, persahabatan Sam dan Frodo serta Merry dan Pippin serta banyak lagi subplot yang menggerakkan keseluruhan francais ini.
Dunia Middle-Earth yang dipaparkan juga sebenarnya terlalu banyak boleh dirungkaikan, didalam trilogi ini mungkin akan mengelirukan sedikit penonton kerana tidak diperjelaskan dengan begitu terperinci kisah-kisah disebalik dunia ini. Malahan didalam filem prequel, The Hobbit juga tidak mampu untuk menceritakan kesemuanya tentang dunia ciptaan Tolkien ini. Sekalipun begitu, tidak mencacatkan pengalaman tontonan kita sepanjang filem ini berlangsung. Filem-filem ini juga mempunyai nilai tontonan semula yang sangat tinggi dan menjadikan penontonan secara marathon lebih seronok.
Walaupun telah ditonton berkali-kali, perasaan teruja tetap muncul terutama pada babak-babak yang mudah diingati. Babak ketika Aragorn dan yang lain-lain memberikan tunduk hormat kepada Frodo, Sam, Merry dan Pippin memberikan kesan yang paling mendalam sekali sepanjang penontonan. Pengakhiran filem ini juga sekaligus menimbulkan rasa kelam dan sedih kepada sesiapa yang betul-betul menghayati perjalanan cerita francais ini. The Lord of the Rings kekal sebagai antara francais epik fantasi terhebat untuk abad ini.
"I can't carry it for you, but I can carry you!" - Samwise Gamgee
Rating Peribadi:
The Fellowship of the Ring: 5/5
The Two Towers: 4.5/5
The Return of the King: 5/5
Share:

0 opinions:

Blog Archive