TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 1
JUMLAH EPISOD: 9 Episod
CIPTAAN: Jac Schaeffer
PENGARAH: Matt Shakman
PELAKON: Elizabeth Olsen, Paul Bettany, Debra Jo Rupp, Fred Melamed, Kathryn Hahn, Teyonah Parris, Randall Park, Kat Dennings
GENRE: Romantik Komedi, Misteri, Superhero, Sitkom
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 29 - 36 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Disney+
EPISOD 1
Wanda (Elizabeth Olsen) dan Vision (Paul Bettany) yang baru sahaja berkahwin berpindah ke sebuah komuniti digelar Westview dan hidup bersama jiran mereka, Agnes (Kathryn Hahn). Kekeliruan timbul antara Wanda dan Vision apabila majikan Vision akan datang ke rumah untuk jamuan makan malam bersama, tetapi majlis itu disalah anggap oleh Wanda. Berlaku perkara lucu di dalam kekeliruan itu dan Wanda terpaksa meminta pertolongan Agnes untuk menyelamatkan makan malam tersebut. Keseluruhan jalan cerita ini disampaikan dalam bentuk sebuah sitkom tahun 50-an.
Dalam episod ini terus ditunjukkan watak Wanda dan Vision yang menjalani kehidupan sebagai seorang suami isteri tanpa apa-apa pengenalan atau rujukan dari filem-filem Marvel Cinematic Universe sebelum ini. Produk terbaru keluaran Marvel kali ini menyelongkar dunia sitkom yang belum pernah digunapakai sebelum ini. Apa yang menariknya, ianya masih lagi menyajikan tema superhero dan misteri yang bersesuaian dengan kuasa Wanda dan Vision.
Untuk episod ini ianya mengambil inspirasi dari rancangan sitkom klasik, The Dick Van Dyke Show. Bagaimana kisah Wanda dan Vision ini akan dikembangkan ke dunia superhero, masih lagi menjadi rahsia. Tetapi ada babak yang sedikit sebanyak menunjukkan sisi depresi pada diri Wanda. Dan yang menariknya lagi pada babak pengakhiran yang menimbulkan persoalan.
“My husband and his indestructible head.” – Wanda
RATING: 4/5
EPISOD 2
Sambungan dari episod sebelum ini masih lagi menggunakan konsep sitkom zaman hitam dan putih. Tetapi kali ini ianya lebih seakan tahun 60an. Mengisahkan Wanda dan Vision yang sedang mempersiapkan diri untuk sebuah majlis pertunjukan bakat untuk kanak-kanak yang dilakukan oleh komuniti dewasa di Westview. Wanda dan Vision akan melakukan acara silap mata dan timbul pelbagai konflik apabila Vision terpaksa berhadapan dengan sebuah rintangan.
Konsep sitkom kali ini lebih menjurus seperti sitkom Bewitched pada tahun 60an, babak kredit di awalnya pun seakan sama dengan sitkom tersebut. Sekali lagi kali ini ditunjukkan bagaimana Wanda dan Vision cuba untuk menyerasikan diri dengan komuniti di Westview. Tetapi perkara-perkara yang aneh telah menimbulkan sebuah misteri yang semakin mendalam.
Dalam episod ini juga ditunjukkan kuasa Wanda serba sedikit yang mampu menimbulkan kegerunan. Sedikit demi sedikit ditunjukkan tentang kecanggungan yang terdapat di dalam pekan Westview ini. Beberapa watak sampingan juga seolah mempunyai sebuah rahsia yang mungkin akan dibongkarkan tidak lama lagi.
Konsep sitkom 50an dan 60an pada kedua-dua episod WandaVision ini mungkin tidak berapa kena dengan selera penonton dari Malaysia. Malahan ada yang akan berasa bosan kerana siri TV superhero yang disajikan belum menunjukkan sisi superhero yang sepatutnya penuh dengan aksi. Tetapi serba sedikit kedua-dua episod ini telah menunjukkan sebuah plot penceritaan yang penuh misteri yang membuatkan siri ini bertambah menarik.
“Are you using your night vision, Vision?” – Wanda
RATING: 4/5
0 opinions:
Post a Comment