TAHUN: 2019
PENGARAH: Areel Abu Bakar
SKRIP: Hafiz Derani
PELAKON: Namron, Khoharullah, Feiyna Tajudin, Fad Anuar, Azlan Komeng, Taiyuddin Bakar
GENRE: Aksi
BAHASA: Bahasa Melayu
DURASI: 101 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Pak Nayan (Namron) mempunyai tiga orang anak yang diajarnya ilmu persilatan, Ali (Khoharullah), Fatimah (Feiyna Tajudin) dan Mat Arip (Fad Anuar). Pada satu hari, anak-anak buah Haji Daud telah datang untuk memaksa Pak Nayan menukar nama tanah miliknya kepada Haji Daud setelah Mat Arip memberi geran tanah tersebut sebagai cagaran hutang yang dipinjamnya dari Haji Daud. Ali dan Fatimah berasa marah dengan sikap Mat Arip yang suka berjudi dan melakukan aktiviti lumba kereta haram sehingga sanggup berhutang. Tetapi terpaksa akur kerana ayah mereka yang selalu menyebelahi Mat Arip. Sehinggalah berlakunya kemelut apabila Mat Arip tidak lagi dapat keluar dari bebanan hutangnya yang mengakibatkan campur tangan Ali untuk menyelamatkannya.
Jalan cerita filem ini sebenarnya sangat ringkas dan bukanlah sebuah cerita yang kita tidak pernah lihat sebelum ini. Tetapi perkara paling utama yang menjadikan filem ini sebuah filem yang unik adalah aksi silat yang dipertontonkan. Koreografi silat dalam filem ini wajib dipuji kerana ianya satu-satunya 'highlight' dalam filem ini yang memberikan kepuasan menonton. Lebih-lebih lagi bila ditunjukkan watak wanita seperti Fatimah lakonan Feiyna Tajudin yang memberikan sebuah perspektif baru terhadap wanita melayu bertudung yang sangat kuat.
Mungkin satu kelemahan yang ketara dalam filem ini adalah plot penceritaannya sahaja. Sekiranya jalan cerita filem ini diperluaskan dan dikembangkan lagi mungkin mampu memberikan kepuasan yang lebih lagi ketika menonton. Ini kerana filem ini hanya bergantung pada watak dan aksi persilatan yang dipaparkan. Jika diperhatikan juga, filem ini seakan sebuah permainan video di mana watak utama perlu berhadapan dengan musuh demi musuh sehinggalah bertemu musuh yang paling utama.
Sememangnya tidak boleh disangkal lagi perasaan seronok apabila melihat orang kampung, baik yang tua atau pun muda dalam filem ini mempersembahkan teknik silat mereka yang sangat menakjubkan. Tetapi jalan cerita masih lagi satu perkara yang sangat penting dalam sesebuah filem. Untuk dialog yang menggunakan dialek Kedah juga tiada masalah, semuanya berhubung dengan cukup baik antara babak dan watak.
Walaupbagaimanapun, dengan bajet yang rendah dan penggunaan pelakon-pelakon yang tidak ternama, filem ini masih mampu lagi berada dalam satu aras yang berbeza sebagai filem aksi tempatan. Ianya membuka mata ramai bahawa filem tempatan tidak memerlukan bajet yang besar untuk menyampaikan sebuah filem yang bagus. Dan tidak dinafikan juga, mungkin jalan cerita yang tidak dikembangkan ini merupakan satu tujuan untuk menghasilkan sekuel pada masa akan datang.
"Yang benar tetap benar, yang batil pasti akan lenyap."
RATING: 3.5/5
0 opinions:
Post a Comment