Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Thursday, January 14, 2021

NANTI KITA CERITA TENTANG HARI INI (2020)

 


TAHUN: 2020
PENGARAH: Angga Dwimas Sasongko
LAKON LAYAR: Jenny Jusuf, Angga Dwimas Sasongko, Melarissa Sjarief.
PELAKON: Oka Antara, Rachel Amanda, Rio Dewanto, Sheila Dara Aisha, Donny Damara, Susan Bachtiar, Niken Anjani.
GENRE: Drama
BAHASA: Bahasa Indonesia
DURASI: 121 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Narendra (Oka Antara, Donny Damara) dan Ajeng (Susan Bachtiar, Niken Anjani) mempunyai tiga orang anak, Angkasa (Rio Dewanto), Aurora (Sheila Dara Aisha) dan Awan (Rachel Amanda). Mereka sekeluarga hidup bahagia, tetapi sebenarnya mempunyai konflik dalaman seperti keluarga lain juga. Angkasa sering dibebani dengan tanggungjawab menjaga adik-adiknya yang diamanahkan oleh bapanya. Aurora pula sering rasa terabai dan disisih oleh keluarganya dan sering bersendirian serta berdikari. Awan yang merupakan anak bongsu berasa tidak berkebolehan akibat sering dibayangi dan dikongkong bapanya. Konflik demi konflik terjadi dalam keluarga ini akhirnya membongkar rahsia yang sudah lama terpendam hanya untuk mencipta kebahagiaan palsu oleh Narendra.
Filem drama kekeluargaan ini merupakan adaptasi dari novel dengan judul yang sama dari penulis Marcella FP. Perkara utama yang menjadi tarikan filem ini adalah gaya penceritaannya yang berlegar ke hadapan dan ke belakang antara tiga zaman yang berbeza. Zaman yang ditunjukkan adalah ketika Awan baru lahir, ketika Awan sudah menjadi anak kecil dan ketika Awan sudah dewasa. Dengan gaya penceritaan sebegini penonton diberikan cebisan demi cebisan persoalan dan pendedahan yang ditunjukkan. Dipaparkan bagaimana yang ditunjukkan pada masa lampau mempunyai refleksi terhadap masa hadapan.
Pertuturan yang ditunjukkan dalam filem ini juga agak puitis, di mana ianya sering menunjukkan mesej-mesej tentang kekeluargaan, kehidupan, kebahagiaan, kesedihan dan kejatuhan. Kombinasi watak Awan (Rachel Amanda) dan Kale (Ardhito Pramono) sering menceritakan tentang jatuh bangun setiap orang dan bagaimana ianya memberikan pengajaran di dalam hidup. Watak Namendra sebagai seorang ayah yang penyayang dan tidak sanggup melihat keluarganya bersedih, tetapi sifat ini ditunjukkan sebagai sesuatu yang negatif apabila terlalu ingin menutup kesedihan sehingga berhadapan masalah yang akhirnya menimbulkan konflik yang lebih besar.
Dari awal penceritaan ianya nampak seperti sebuah drama kekeluargaan yang biasa, tetapi filem sebegini juga mampu memberikan 'plot twist' yang bakal meruntun hati penonton. Malahan konsep 'slice of life' dalam filem ini juga mampu menghubungkaitkan plot dengan penonton secara spiritual. Plot drama bergabung dengan dialog puitis serta dipadankan pula dengan sinematografi yang indah membuatkan filem ini antara filem dari Indonesia yang wajib ditonton. Dan yang paling penting, ianya mengajar kita bagaimana kita perlu merasaai keperitan, kerana dari keperitan itulah baru munculnya keredhaan.
"Ibu, dunia ini bukan berputar hanya untuk ayah."
RATING: 4/5
Share:

0 opinions:

Blog Archive