Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Tuesday, January 26, 2021

TRIBHANGA: TEDHI MEDHI CRAZY (2021)



TAHUN: 2021
PENGARAH: Renuka Shahane
SKRIP: Renuka Shahane
PELAKON: Kajol, Tanvi Azmi, Mithila Palkar
GENRE: Drama
BAHASA: Hindi
DURASI: 95 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Milan (Kunaal Roy Kapur) menemu bual penulis terkenal, Nayantara "Nayan" Apte (Tanvi Azmi) untuk menghasilkan buku biografi kisah kehidupannya. Milan menyelusur sejarah kehidupan Nayan bersama anaknya, Anuradha "Anu" Apte (Kajol) yang penuh dengan konflik kekeluargaan. Nayan dan Anu mempunyai hubungan ibu dan anak perempuan yang dingin setelah Nayan bercerai dengan suaminya dan berkahwin dengan orang lain. Anu mula teringat kembali kisah silamnya bersama ibunya selepas Nayan jatuh koma. Dalam waktu yang sama, tersingkap juga kisah rahsia anak Anu, Masha (Mithila Palkar) yang juga mempunyai konflik dengan keluarga mertuanya.
Kajol menjadi tunjang utama filem ini dengan wataknya sebagai seorang penari professional yang mempunyai kehidupan yang terbuka. Tetapi tumpuan filem ini terletak pada Nayan yang cuba menjadi seorang ibu dan dalam waktu yang sama, bergelut dengan kariernya sebagai seorang penulis yang terkenal. Filem ini menunjukkan sisi seseorang yang disanjung oleh orang ramai, tetapi secara zahiriahnya mempunyai sebuah keluarga yang berantakan.
Menariknya lagi apabila filem ini menunjukkan kisah tiga orang wanita dari zaman yang berbeza iaitu Nayan, Anu dan Masha. Dan tema utama yang menjadi tulang belakang filem ini adalah sisi drama tentang pilihan dalam hidup dan karma kehidupan. Setiap apa yang Nayan lakukan sewaktu menjadi isteri dan ibu, mempunyai refleks terhadap masa depan Anu, dan begitu juga dengan apa yang Anu lakukan mempunyai refleks pada Masha.
Ianya cuba mengajar kita bahawa setiap orang mempunyai pilihan di dalam hidup. Dan setiap apa sahaja keputusan yang mereka pilih, akan mempunyai karma dan kesannya pada diri sendiri atau orang yang disayangi pada masa akan datang. Menyentuh soal lakonan, Kajol memberikan sebuah watak yang luar dari kebiasaan watak selalu dibawanya. Di dalam ini Kajol kelihatan sangat 'terbuka' dan melontarkan lakonannya sebaik dan 'sekasar' yang mungkin kepada penonton.
Kajol menjadi penggerak utama filem ini dan jalan cerita ini menjadi bertambah rancak dengan wujudnya hubungan antara watak Kajol dan watak-watak lain dalam filem ini. Ianya sebuah filem yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan memberikan satu perspektif baru terhadap drama kekeluargaan filem-filem dari India. Walaupun durasinya agak pendek dan ada sesetengah subplot kelihatan sangat cepat hendak dihabiskan, ianya masih lagi sebuah filem dari Netflix yang menghiburkan.
"Nobody imposed their choices on us."
RATING: 4/5
Share:

0 opinions:

Blog Archive