Ulasan Filem dan Siri Televisyen

Total Pageviews

Thursday, January 14, 2021

The Queen's Gambit (2020-) - Ulasan Siri TV


Siri TV mini yang ditayangkan di Netflix ini membawa kisah Beth Harmon (Anya Taylor-Joy) yang merupakan seorang anak yatim piatu dan seorang pemain catur yang hebat. Sepanjang siri ini mengisahkan perjalanan Beth Harmon dari tahun 1950an hingga ke 1960an dalam misi beliau menjadi seorang pemain catur yang hebat. Beth juga perlu bergelut dengan pelbagai konflik dalaman yang membabitkan hubungannya dengan pemain catur lain dan masalah ketagihan pil dan minuman keras.

Pelakon muda, Anya Taylor-Joy menjadi tunjang utama filem ini dan aku sangat kagum dengan kewibawaan beliau mengangkat siri TV ini menjadi sebuah siri TV yang menarik dengan hanya berbekalkan watak Beth Harmon yang berkembang dengan sangat cantik dari awal hingga ke akhir siri. Kredibiliti Anya tidak boleh disangkal lagi kerana secara keseluruhannya, siri TV ini memerlukan sebuah watak yang sangat kuat untuk berhubung dengan jalan cerita dan penonton, dan Anya berjaya melakukan perkara ini.
Siri TV ini juga berjaya menunjukkan evolusi watak Beth Harmon yang minat bermain catur sejak dari kecil hinggalah menjadi seorang pemain catur yang disegani apabila dewasa. Perkembangan watak ini tidak perlu dipaksa dan ianya berkembang dengan cukup lancar seiring dengan plot penceritaan. Begitu juga hubungkait antara watak Beth dan watak-watak lain seperti Harry Beltik (Harry Melling), Benny Watts (Thomas Brodie-Sangster), Ms Alma Wheatley (Marielle Haller) dan Jolene (Moses Ingram). Beth walaupun nampak seperti seorang yang introvert, tetapi Anya berjaya menggunakan perwatakan itu dengan menjalinkan interaksi yang bersesuaian dengan watak-watak sampingan yang lain.
Berkenaan tema permainan catur yang menjadi isu utama dalam filem ini pula, ianya berjaya membuka satu perspektif yang baru kepada penonton tentang permainan ini. Bagaimana pengarah Scott Frank bijak menggunakan sudut sinematografi dan muzik latar yang menjadi pemangkin ketika babak-babak permainan catur berlangsung. Dan sekalipun ada penonton yang tidak biasa dengan permainan ini, tetap tidak menjadi masalah dan jalan cerita yang disampaikan cukup mudah difahami.
Netflix tidak selalunya menghasilkan sebuah siri TV yang betul-betul bagus, tetapi kadangkala apabila wujudnya siri TV yang menarik, ianya sememangnya sebuah siri TV yang bakal diingati untuk tahun ini. The Queen's Gambit menambahkan lagi rencah di dalam isi kandungan rancangan-rancangan Netflix yang kadangkala 'hit and miss'. Dan siri ini adalah sebuah karya yang 'hit'.
"The strongest person is the person who isn't scared to be alone." - Alice Harmon
Rating Peribadi: 4/5
Share:

0 opinions:

Blog Archive