TAHUN: 1995
PENGARAH: Yoshifumi Kondō
LAKON LAYAR: Hayao Miyazaki
PELAKON: Yōko Honna, Issei Takahashi, Shigeru Tsuyuguchi, Keiju Kobayashi
GENRE: Anime, Drama, Romantis
BAHASA: Bahasa Jepun
DURASI: 111 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Shizuku Tsukishima (Yōko Honna) merupakan seorang murid sekolah menengah yang juga seorang ulat buku dan penulis yang kreatif. Pada satu hari, Shizuku perasan setiap buku yang dibacanya di perpustakaan pasti ada nama Seiji Amasawa dalam kad perpustakaan. Perkara ini membuatkan Shizuku keliru dan mula mencari siapa Seiji Amasawa. Sehinggalah Shizuku terserempak dengan sebuah kedai antik milik orang tua bernama Shiro Nishi yang juga merupakan datuk kepada Seiji. Dari situ Shizuku dan Seiji mula berkawan dan perasaan mula terjalin. Tetapi Seiji ingin ke Italy untuk mempelajari seni penciptaan violin. Shizuku yang mengagumi cita-cita Seiji juga berjanji untuk fokus pada bakatnya dalam penulisan kreatif.
Whisper of the Heart merupakan sebuah filem anime klasik dari produksi anime terkenal, Studio Ghibli. Sesiapa yang meminati anime-anime dari studio ini pasti akan berasa sangat dekat dengan anime ini. Seperti biasa Hayao Miyazaki mengangkat seorang kanak-kanak perempuan menjadi watak utama untuk filem ini. Menonton filem ini memang boleh nampak tema awal yang cuba disampaikan yang akan menjadi templat filem-filem Hayao Miyazaki selepas itu.
Penceritaan anime kali ini menunjukkan bagaimana sebuah percintaan itu mampu memberikan motivasi dalam mencapai cita-cita melalui bakat yang sedia ada. Banyak simbol-simbol yang ditunjukkan dalam filem ini refleks kepada perkembangan watak Shizuku untuk terus menjadi seorang penulis yang kreatif. Begitu juga persekitaran suasana filem yang dipenuhi dengan watak-watak sampingan menarik terutamanya kucing bernama Moon/Muta.
Walaupun anime kali ini lebih dekat dengan realiti dan merupakan sebuah anime yang berkonsepkan 'coming-of-age drama', tetapi masih lagi ingin memberikan secebis babak fantasi antara Shizuku dan watak kucing The Baron. Watak ini kemudiannya nanti diberikan sebuah filem spin-off, The Cat Returns. Cuma untuk filem kali ini ianya menjadi sebuah 'plot device' bagi kisah Shiro Nishi yang menyayat hati.
Sekali lagi perasaan menenangkan dapat dirasai setiap kali menonton filem dari Studio Ghibli ini. Plot yang berjalan dengan cukup lancar dan santai dari awal sehingga bertemu dengan pertengahan dan pengakhiran yang bergabung dengan cukup sempurna. Tentunya mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini mampu memberikan perspektif dan motivasi yang baru kepada penonton.
"Country road...
Kono michi...Zutto...Yukeba
Ano machi ni...Tsuzuiteru...Ki ga suru
Country road..."
RATING: 4/5
0 opinions:
Post a Comment