Joe Gardner (Jamie Foxx) seorang guru muzik, mendapat peluang untuk menjadi pemain piano di dalam jazz band Dorothea Williams (Angella Basset). Ianya merupakan impian yang paling dinanti-nantikan Joe selepas kariernya sebagai pemain piano jazz tidak berapa berjaya. Tetapi malangnya sebelum Joe sempat melaksanakan impiannya, roh dan jasadnya terpisah akibat kemalangan tak dapat dielak. Joe memulakan pengembaraannya di alam roh dan menuju ke Great Beyond. Menariknya lagi, Joe tidak bersedia untuk ke Great Beyond, lalu beliau mula berkenalan dengan 22 (Tina Fey), roh yang sudah lama berada di alam Great Before dan mereka merancang untuk mengembalikan roh Joe ke dunia.
Pixar sekali lagi menghasilkan sebuah filem yang sarat dengan filosofi tentang kehidupan. Kali ini ianya menjangkau lebih jauh lagi dengan menggunakan medium 'roh' dan 'jiwa' sebagai teras utama. Sekalipun perkara sebegini sebenarnya tidak dapat dijangka dek akal, tetapi Pixar dan pengarah filem ini, Pete Docter cuba menterjemahkan dunia Great Beyond dan Great Before dengan se-kreatif mungkin. Kreativiti dalam menggunakan animasi sebagai eskapism dunia roh merupakan perkara yang menarik dalam filem ini.
Animasi yang dibawakan kali ini berbeza dengan animasi-animasi Pixar sebelum ini. Di dunia di bumi, kita ditunjukkan dengan manusia-manusia 'CG animated' yang memang nampak 'animasi', tetapi anehnya ianya terasa 'real'. Suasana sekeliling dan tekstur pada animasi yang dipaparkan sangat mengagumkan. Begitu juga dengan lakonan dari watak-watak animasi ini yang dijayakan dengan pelakon-pelakon suara yang cukup cemerlang. Jamie Foxx dan Tina Fey menjadi dua entiti berbeza karakteristik tetapi dinamik yang ditunjukkan oleh dua pelakon ini memberikan impak kepada jalan cerita filem ini.
Berbalik pada konsep penceritaan, walaupun konsep ini kelihatan berat dan mendalam untuk disampaikan kerana menggunakan elemen alam sebelum hidup dan alam selepas mati, ianya dengan bijaknya diadaptasi dengan semudah dan seringan mungkin. Masih ada lagi komedi-komedi diselitkan, dan jika diperhatikan, ianya seakan filem 'spritual buddy road trip movie' antara watak Joe dan 22. Dan dengan mesej-mesej yang sarat dipaparkan membuatkan filem ini mempunyai keseimbangan antara isu psikologi yang serius dan babak yang santai.
Tidak dilupakan juga muzik jazz yang dibawakan dalam filem ini yang menunjukkan impian Joe Gardner dalam kehidupannya. Ianya mempersoalkan tentang adakah impian kita itu adalah tujuan sebenar kita untuk hidup di dunia ini. Seringkali kita melihat filem yang menunjukkan watak yang berjaya mencapai impian, tetapi tidak semua di dunia ini mampu untuk mencapai impian mereka, jadi adakah mereka tidak ada tujuan di dunia ini? Pengakhiran filem ini akan memberi jawapan dan ianya sungguh memuaskan. Pujian diberikan kepada barisan penulis lakon layar filem ini yang memberikan sebuah filem kerohanian yang penuh dengan nilai dan mesej yang bermanfaat.
“I heard this story about a fish, he swims up to an older fish and says: ‘I’m trying to find this thing they call the ocean.’ ‘The ocean?’ the older fish says, ‘that’s what you’re in right now.’ ‘This’, says the young fish, ‘this is water. What I want is the ocean!’” - Dorrothea Williams
Rating: 4/5
0 opinions:
Post a Comment