TAHUN: 2021
PENGARAH: Ramin Bahrani
LAKON LAYAR: Ramin Bahrani
PELAKON: Adarsh Gourav, Rajkummar Rao, Priyanka Chopra
GENRE: Drama
BAHASA: Inggeris, Hindi
DURASI: 125 minit
SUMBER TONTONAN: Netflix
Kemiskinan, penghambaan moden dan korupsi merupakan antara isu paling kritikal di dunia, dan negara mana lagi yang lebih sinonim dengan permasalahan ini dan sering diketengahkan dalam filem jika bukan negara India. Di dalam filem ini, kita dibawa menyelusuri kisah Balram Halwai (Adarsh Gourav), seorang pemuda miskin yang tinggal di Laxmangarh yang cuba untuk keluar dari 'reban ayam' yang memerangkap beliau sejak kecil.
Balram seorang yang celik akal, tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk sambung belajar kerana terpaksa menyara keluarganya. Kemudian Balram mendapat peluang keemasan untuk menjadi pemandu tuan tanahnya, The Stork (Mahesh Manjrekar) dan anaknya Ashok (Rajkummar Rao). Satu insiden malang telah menyebabkan Balram tersentak dan sedar akan realiti sekalipun beliau sudah ke bandar dan mempunyai kerja yang stabil, tetapi beliau masih lagi berada dalam 'reban ayam' dan menunggu masa untuk 'disembelih'.
The White Tiger keluaran terbaru dari Netflix merupakan filem adaptasi dari novel karya Aravind Adiga dengan judul yang sama. Secara ringkasnya, filem ini lengkap dari sudut jalan cerita bagus, persembahan lakonan para teraju yang berbakat dan lakon layar yang menakjubkan. Untuk sebuah filem keluaran laman strim, ianya tidak disangkal lagi tetap mempunyai nilai sinematik yang tinggi.
Kita masuk perihal lakon layar, jika diikutkan ianya tiada beza dengan beberapa filem drama yang menggunakan konsep 'pencerita'. Tetapi konsep sebegini masih lagi berkesan kerana ianya mampu membawa penonton mengalami sendiri hikayat kisah Balram dari awal hingga akhir. Filem yang berdurasi dua jam ini melayari babak demi babak sehinggakan kita tidak tersedar masa sudah berlalu.
Tentang pelakon pula memang sudah tidak perlu dipersoalkan lagi. Lakonan Adarsh Gourav yang 'mentah' ini sangat sesuai melakonkan watak Balram Halwai, seorang pemuda yang sebenarnya bijak, tetapi terperangkap dalam mentaliti yang memerlukannya menyanjung tuan-tuannya seperti Tuhan. Watak ini jika diikutkan lebih nampak sisi realismnya, tetapi mungkin perubahan perwatakan pada bahagian akhir filem ini sedikit nampak terburu-buru. Gabungan Rajkummar Rao dan Priyanka Chopra juga menyerikan lagi jalan penceritaan filem. Kedua-dua pelakon ini mampu berhubung dengan watak Balram dengan baik.
Berbalik pula kepada isu yang cuba disampaikan, ianya lebih 'pahit' untuk ditelan oleh penonton. Contoh jika hendak dibandingkan dengan Slumdog Millionaire yang juga cuba menyampaikan isu yang sama, tetapi ianya lebih kepada bersifat eskapism dan fantasi permasalahan utama sahaja. The White Tiger juga sebenarnya menyajikan fantasi bagi golongan miskin di sana, tetapi kesan yang cuba dibawakan itu lebih mendalam lagi. Akhir sekali, jika ingin disentuh pula sedikit kekurangan dari filem ini, mungkin 'turning point' watak Balram itu sahaja agak lambat panas yang menyebabkan pengakhirannya terlalu cepat dan kurang memuaskan. Lain-lain, ianya sebuah filem original Netflix yang terbaik setakat ini.
"Rich men born with opportunity they can waste."
RATING: 4/5
0 opinions:
Post a Comment