TAHUN: 2021
JUMLAH MUSIM: 3
JUMLAH EPISOD: 10 per musim
CIPTAAN: Josh Heald, Jon Hurwitz, Hayden Schlossberg
PELAKON: William Zabka, Ralph Machio, Courtney Henggeler, Xolo Maridueña, Tanner Buchanan, Mary Mouser
GENRE: Komedi, Aksi, Drama
BAHASA: Bahasa Inggeris (US)
DURASI: 22 - 40 minit setiap episod
SUMBER TONTONAN: Netflix
Siri TV Cobra Kai kembali dengan musim ketiga selepas pengakhiran tergantung pada musim kedua yang sungguh mendebarkan. Pada musim sebelum ini kita diberikan pengakhiran di mana Robby Keene (Tanner Buchanan) secara tidak sengaja telah mengakibatkan Miguel Diaz (Xolo Maridueña) cedera teruk kesan dari pergaduhan karate besar-besaran di sekolah mereka.
Untuk musim ketiga ini, fokus lebih kepada Johnny Lawrence (William Zabka) yang cuba menebus kesalahannya dengan menolong Miguel berjuang dan konfliknya terhadap sensei lamanya, John Kreese (Martin Kove) yang telah merampas Cobra Kai darinya. Fokus juga tertumpu pada watak Daniel LaRusso yang cuba menjernihkan kembali nama Miyagi-Do dan syarikatnya yang tercemar akibat insiden karate di sekolah anaknya, Samantha LaRusso (Mary Mouser). Johnny dan Daniel juga masih lagi berseteru tetapi kini mereka tahu ancaman sebenar adalah bila Cobra Kai kendalian Kreese mula merekrut pembuli-pembuli dan menjadi masalah besar di San Fernando Valley.
Jujurnya boleh dikatakan Cobra Kai musim ketiga ini telah berjaya meneruskan momentum yang terdapat dari musim pertama dan kedua. Malahan musim ketiga ini telah menjadi batu asas untuk penonton tidak sabar menantikan musim yang keempat. Timbul perasaan tidak puas kerana sepuluh episod untuk musim ketiga ini tidak cukup untuk memenuhi kehendak penonton. Walaupun jalan ceritanya semakin lama menjadi semakin serius, tetapi ianya masih lagi mengekalkan humor yang mewujudkan suasana segar sepanjang siri. Malahan aksi karate yang ditunjukkan juga lebih banyak berbanding sebelum ini.
Ianya juga seakan sebuah drama percintaan remaja sekolah menengah, tetapi kehadiran aksi karate di setiap episod menjadikan siri ini sebuah siri yang lain dari yang lain. Peminat siri filem The Karate Kid juga akan suka menonton siri ini kerana ianya banyak mengimbau kembali babak-babak dalam filem-filem sebelum ini. Musim ini juga mengembalikan watak-watak ikonik dari filem-filem klasik tersebut sekaligus menimbulkan perasaan nostalgik kepada peminat setia siri The Karate Kid.
Apa yang menariknya lagi tentang siri ini adalah konflik hubungan antara watak-watak. Perhubungan antara Johnny dan Daniel serta anak-anak murid mereka iaitu Robby, Miguel, Samantha, Hawk dan Demetri. Kisah antara mereka ini sentiasa bertukar-tukar sifat dan bertukar-tukar dari sisi baik dan jahat. Tetapi kebanyakkan karakter dalam siri ini adalah 'grey character' yang mempunyai kisah silam yang sedih tetapi memilih sisi gelap bagi melunaskan sifat kebencian dalam diri. Kalau diperhatikan ianya seakan sebuah drama opera sabun, tetapi dengan karate! Pujian harus diberikan pada pelakon-pelakon yang berjaya membawa watak mereka dengan cukup berkesan, terutama sekali watak Tory Nichols yang dilakonkan oleh Peyton List yang memberikan sebuah watak antagonis yang mempunyai latarbelakang yang mendalam.
Pujian juga kepada barisan penulis siri ini yang mampu memberikan sebuah siri yang nostalgik tetapi masih mempunyai sebuah jalan cerita yang menjamin kepuasan menonton. Bagi yang belum menonton siri ini, amatlah digalakkan menonton, dan jika anda bukan penonton siri filem The Karate Kid, boleh sahaja tonton siri ini, mungkin lepas menonton anda akan mencari pula siri filem tersebut.
"In life, we always lose our way. But it is people, not the signs, that guide us back to the right path."
RATING: 4.5/5
0 opinions:
Post a Comment